Tazkirah Ramadan
 
Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat  balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di  hati dan bermaharajalela.  
Saudara-saudari,
Apabila kita membuat kesilapan  kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah  kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang  membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk'  kepada kita? 
Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan  Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."
Semoga dengan keberkatan  Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan  nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang  perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama  ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata.  Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia.  Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap  umat Islam. 
Nabi Muhammad saw pernah  bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar  dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi  sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"
Saudara-saudari,
Bulan Ramadhan ini adalah  anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak  mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga  diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan  semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita  termasuk dalam golongan yang menganiayai diri 
sendiri. 
Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya  yang lalu."
Wasalam
Labels: Agama